Sayu.. Amira, Aqila masih tidur bersama bantal arwah

KUALA LUMPUR – “Sehingga kini mereka masih tidur dengan menggunakan bantal milik arwah dan akan meragam sekiranya ia gagal ditemui.”

Itulah luahan bapa saudara kepada Nur Firuza Amira, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, yang menjadi yatim piatu setelah kedua ibu bapa serta adik mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) tiga tahun lalu.

Menurut Roslan Zainun, 57, Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila tidak pernah melupakan ibu bapa mereka malah ada beberapa ketika akan membuka cerita kenangan yang dilalui ketika Allahyarham masih hidup.

“Mereka masih berperwatakan ceria seperti biasa, namun adakalanya memori bersama ibu bapa mereka kembali di ingatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Katanya, Amira dan Aqila kini sudah berada dalam darjah empat dan bersekolah di sebuah sekolah di Batu Caves di sini.

Dalam pada itu, Roslan berharap, insiden tersebut dapat menjadi pengajaran kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan memandu secara berhemah.

“Kami sekeluarga menerima keputusan mahkamah dengan hati yang terbuka.

“Diharapkan, kerajaan akan mengenakan hukuman yang lebih tegas pada masa hadapan kepada pemandu yang memandu secara berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang agar kejadian serupa tidak berulang,” katanya.

Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan dua pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut iaitu Siti Noor Aini Mohd. Said, 38, serta Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 33, dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000. – K! ONLINE