Mangsa letupan tong dram di Paka meninggal dunia

KUALA TERENGGANU – Mangsa letupan tong dram yang tubuhnya melecur lebih 50 peratus dalam kejadian di Kampung Baru Tebing Tembah dekat Paka di Dungun pada Khamis lalu, disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, mangsa Muhammad Salehuddin Mohd. Noor, 26 meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Kebiasaannya, mangsa yang terbakar lebih 50 peratus agar sukar diselamatkan kerana tahap lecur mangsa agak teruk.

Bagi kes pesakit melecur lebih 40 peratus pula, kemungkinan untuk sembuh juga agak rendah iaitu antara 20 hingga 30 peratus sahaja bergantung kepada banyak faktor seperti umur, jangkitan kuman, kadar kehilangan air dalam badan dan banyak lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian di bengkel perabot itu, mangsa cedera parah selepas tong dram yang sedang dipotongnya tiba-tiba meletup menyebabkan mangsa terpelanting dan pakaiannya terbakar. – BERNAMA

Lelaki melecur teruk tong dram dipotong meletup (6 Gambar)

DUNGUN – Seorang lelaki melecur hampir separuh daripada anggota badan selepas terkena letupan tong dram dalam kejadian di sebuah bengkel, di kampung Baru Tebing Tembah, Paka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, mangsa, Muhammad Salehuddin Mohd Noor, 25 mengalami kecederaan ketika melakukan kerja- kerja kimpalan di bengkel.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk operasi membantu dan menyelamat mangsa.

“Ketika bomba tiba di lokasi didapati tong dram telah meletup akibat daripada kerja-kerja welding/grinding.

“Didapati tong dram yang pada asalnya mengandungi alkohol sudah kosong,”katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dianggarkan mengalami kelecuran pada anggota badan melebihi 50 peratus.

“Punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan,”katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sumber : terengganu times