Kudratnya Dikerah, Tubuh Badannya Diratah!!! Sengsara Balu Miskin Ini Makin Bertambah Sejak DIBELA Lelaki Tak Guna

Seorang balu yang mempunyai empat orang anak. Suami yang menjadi tempatnya bergantung hidup baru saja diambil Allah.

Penyakit kulit yang serius dihadapi arwah ditanggung selama hampir tiga tahun, memberikan Khatijah satu tamparan hebat kerana dia terpaksa bekerja lebih kuat untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Namun, Allah lebih mengasihi arwah. Kehidupan Khatijah diteruskan dengan pelbagai ranjau. Khatijah hilang arah kerana dia tidak tahu bagaimana harus memulakan kehidupan tanpa seorang suami di sisi.

Dia hilang tempat mengadu dan lebih menyakitkan, keluarga mertua menyalahkannya kerana tidak pandai menjaga suami. “Akak hidup dengan anak-anak saja. Rumah ini adalah peninggalan arwah ibu akak tetapi rumah ini pun satu isu juga.

Ia bukan milik akak seorang kerana rumah ini sepatutnya hak adik-beradik lain juga. Selepas ibu meninggal dunia, adik-beradik lain datang dan maki hamun akak, kata akak menumpang.

Kalau nak pindah pun, akak tidak ada duit. Sedangkan untuk makan kami anak-beranak pun kais pagi makan pagi, inikan pula hendak pindah rumah. Akak nak ke mana?”

Pahit untuk menelan kisah Khatijah. Harta pusaka, jika tidak diwasiatkan pasti akan mencetus huru-hara dalam keluarga. Adik-beradik pun boleh berbunuhan!

Baru-baru ini penulis ke kediamannya untuk bertanya khabar. Ya Allah, rumahnya dipenuhi besi-besi buruk! Anak-anaknya pula comot menyambut kedatangan saya.

Tetapi, ada dua orang kanak-kanak lebih kurang usia setahun dan beberapa bulan memeluk erat Khatijah. “Ini anak akak. Tahun lepas akak kahwin dengan abang Udin. Masa akak dalam kesusahan, akak kutip sampah di merata-rata tempat termasuklah kedai besi abang Udin.

Lama-lama kenal, akak pun pinjam duit abang Udin buat beli makanan. Dari situlah abang Udin sudi terima akak sebagai isteri. Mujur abang Udin ada kerana dialah yang banyak ajar akak soal agama.”

Wajah Khatijah seakan tersenyum tetapi senyuman itu penuh maksud tersirat. Matanya melirik ke arah suami yang duduk bersama-sama kami di ruang tamu.

Banyak yang kami bualkan. Hidup Khatijah lebih teruk dari sewaktu arwah suaminya masih ada. Pelik juga kerana dia kini sudah ada pengganti, seorang suami yang sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan.

Entah kenapa Khatijah mengajak saya ke tempat yang biasa dia mengutip sampah. Dengan rela hati, kami berdua ke sana, anak-anak ditinggalkan bersama suaminya di rumah.

Sebaik kereta melepasi kawasan perumahannya, Khatijah tiba-tiba terus menangis.

“Akak dah tak sanggup macam ni dik. Akak tak tahu apa status akak dengan abang Udin. Ini kali kedua akak rasa susah. Akak pernah gantung diri pada kipas sebab dah tak tahan dengan semua ni!” jerit Khatijah.
Panik juga dibuatnya kerana baru sahaja sebentar tadi Khatijah seronok bercerita kisah anak-anaknya.

“Akak terima duit bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa bantuan lain lagi. Tapi, duit anak-anak untuk kegunaan sekolah semuanya habis dikerjakan abang Udin.
Dik, kamu tahu tak, sebelum mak meninggal abang Udin bawa kami ke sebuah rumah, kononnya untuk bernikah. Tetapi rumah itu adalah rumah kongsi pendatang asing! Dia tipu akak dik. Sijil nikah pun kami tak ada!” ujarnya.

Masya Allah! Maknanya selama ini Khatijah bersekedudukan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Lebih dahsyat, dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan abang Udin bukan anak sah taraf?

Tidak sanggup lagi saya membiarkan otak ini ligat berfikir kerana segala-galanya membawa kepada tanggapan negatif sahaja. Khatijah memang lurus orangnya. Mungkin kerana tidak berpelajaran tinggi menyebabkan dia hanya terima bulat-bulat penipuan seorang lelaki.

Menurut Khatijah, hasil daripada dia mengutip sampah di tepi jalan untuk dijual tidak sampai ke tangan. Apa sahaja yang ditemui, kicap yang sudah tamat tarikh luput, jem dan air botol antara barang-barang yang dibawa pulang untuk dimakan bersama anak-anak walaupun sudah melebihi tarikh luput!

“Akak pernah cuba gantung diri kerana terlalu tertekan. Tetapi abang Udin sempat selamatkan akak. Kamu tahu kenapa? Dia balik ke sini semata-mata untuk mengadakan hubungan seks sedangkan dia mempunyai isteri lain! Kononnya nak kahwin untuk membantu akak tetapi tidak lama selepas berkahwin, dia jatuh bankrap.

Dia ambil duit belanja anak-anak dan duit hasil jualan sampah-sarap yang akak kutip kononnya dia akan bayar nanti. Tapi sebenarnya dia penipu!” keluh Khatijah.

Memang benar, abang Udin hanya mempergunakan Khatijah. Dia sendiri akui. Dia tiba di kawasan pengumpulan sampah dan hanya duduk di dalam kereta. Dia langsung tidak membantu Khatijah mengutip sampah kerana baginya, dia hanya ‘membantu’ Khatijah.

Kehadiran dia di rumah ini pada hari itu juga hanya untuk berlakon dan memastikan Khatijah tidak ‘buka mulut’. Hidup Khatijah seperti keluar dari mulut buaya dan masuk mulut naga.

Penulis berdoa agar Khatijah dapat melarikan diri daripada abang Udin kerana tidak mahu dia terus diselubungi dosa.

Beberapa pihak telah kami temui untuk membawa Khatijah jauh dari sini. Insiden Khatijah dipukul abang Udin gara-gara Khatijah cuba melarikan anak-anaknya sungguh terkesan di hati. Semoga ada sinar dalam hidup Khatijah selepas ini.

SUMBER:MAJALAHNONA via iamkiram.party