‘Kami tak malu anak sumbing’

“MEMANG bayi saya sumbing dan ini adalah rezeki yang Allah SWT berikan pada kami sekeluarga.

“Saya dan isteri menerima dengan reda dan Alhamdulillah, kami positif dikurniakan anak istimewa ini,” kata penyanyi Lan Solo.

Lan atau nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, ketika dihubungi berkata dia dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 33, juga tidak malu untuk berkongsi foto bayi mereka, Nur Amna Quxandra yang dilahirkan pada 24 Februari lalu.

“Buat apa kami nak malu. Lagi pun, masalah sumbing bayi kami tidaklah teruk sangat. Nur Amna Quxandra hanya sumbing di bibir saja.

“Ia tidak membabitkan lelangit dan hidung. Jadi, saya bersyukur anak istimewa kami hanya diuji dengan sumbing yang sedikit.

“Doktor pun ada memberitahu, pembedahan boleh dilakukan ke atas bayi kami apabila beratnya sudah mencecah 5 kilogram,” katanya.

Lan yang akan muncul dengan single solo, Berpisah Tanpa Rela ciptaan sendiri berkata sekarang berat bayinya baru 2.5 kilogram.

Nur Sheila dihubungi berkata dia sudah tahu bayi keempatnya sumbing bibir sejak dalam kandungan lagi.

“Ketika itu, kandungan saya berusia 27 minggu dan apabila doktor memberitahu saya bersyukur dapat menerima dengan hati terbuka.

“Apapun, ada juga orang yang bertanya adakah Lan pergi memancing atau saya ada menggunting apa-apa. Semua itu, tidak pernah kami lakukan.

“Bagi saya, sudah rezeki kami dikurniakan seorang anak yang istimewa. Apa yang penting, bayi saya selamat dilahirkan dan sihat,” katanya.

Menurut Nur Sheila, dia juga tidak akan menggunakan ‘tiket anak artis’ untuk menyorokkan bayinya daripada masyarakat atas sebab malu.

“Sebagai ibu, Nur Amna Quxandra adalah bayi yang saya kandung dan lahirkan. Saya bangga dengan anak saya dan kini saya pun makin banyak kumpul ilmu mengenai masalah bibir sumbing,” katanya.

Lan dan Sheila bernikah pada 5 Disember 2009. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Sumber : hmetro