Bermula Dengan Cuci Kaca Mikroskop, Ini Cerita Anak Malaysia Pertama Lancar Satelit Nasa

Pada April 2014, Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim membuktikan semangat Malaysia Boleh apabila menjadi rakyat Malaysia pertama melancarkan satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) ke angkasa lepas! Bukan calang-calang orang boleh dapat penghormatan sebegitu kan?

Namun mungkin ramai yang tidak tahu kisah sebenar sebelum beliau berjaya mencapai  kejayaan sebegitu hebat ini. Memang terbaiklah Dr!

Uji sel hidup dalam kekurangan graviti

Ketika hanya berusia 36 tahun, Dr Wan Wardatul mengetuai sekumpulan 28 saintis, pakar teknologi dan jurutera untuk mengkaji program astrobiologi pertama di agensi itu. Program berkenaan membuat kajian terperinci untuk menyelidik bagaimana respon sel hidupan apabila berdepan kekurangan graviti.

Projek itu kemudiannya melancarkan satelit nano dan roket SpaceX sebagai sebahagian perjalanan Nasa untuk misi menakluk planet Marikh.
Hanya cuci kaca slaid

Ketika ditanya bagaimana perjalanannya dengan Nasa bermula, menurutnya semuanya hanya dengan tugas kecil mencuci kaca slaid yang ditugaskan kepadanya.

Orang mungkin akan tanya, cuci kaca slaid dan penutup mikroskop? Mesti bosan kan? Tapi kerja itulah yang membawa saya kerja dengan Nasa.

Saya bekerja di makmal kerana saya mahu belajar. Tapi kerana saya menunjukkan prestasi yang bagus, mereka mula mengambil saya sebagai pekerja dan diberi peluang keemasan berkenaan.

Balik Malaysia semula

Namun, beliau kembali ke tanah air pada hujung 2014 untuk membina mesin ringkas bagi disumbangkan kembali kepada komuniti. Beliau telah membangunkan alat pengesan bagi mengenalpasti sample air untuk mengesan bakteria berbahaya. Alat ini berguna apabila banjir melanda.

Selain itu, pihaknya bersama pasukan kini mencipta alat pemantau glukosa darah yang boleh diguna semula dan dijual pada harga berpatutan.

Saya boleh dapatkan kerja di Nasa dengan senang, tapi saya mahu selesaikan ‘masalah sebenar’. Bukan saya tak cukup selesaikan masalah di Amerika Syarikat tetapi di sana mereka mempunyai ramai yang boleh berbuat demikian di sana.

Bercakap tentang Malaysia, saya rasa saya boleh merungkai permasalah yang terjadi dalam masyarakat.

Sumber: Malaysiakini