Inkues EIMARace2016: Jentera 22 punca kemalangan- Saksi

Tiga beranak maut dirempoh go kart
Dua beranak maut selepas dirempuh kenderaan jenis ‘Go Kart’ yang hilang kawalan ketika dalam perlumbaan ketika kedua-duanya sedang menonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARACE 2016) di Kompleks Tertutup Sukan Pahang (SUKPA). – Foto Bernama

KUANTAN – Kemalangan yang meragut nyawa dua beranak pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 berpunca apabila sebuah daripada kenderaan yang bertanding cuba memotong di antara dua jentera lain, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Farirul Abd Halim, 32, berkata siasatan mendapati jentera yang cuba untuk memotong itu bernombor 22 iaitu daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai.

Saksi ke-12 prosiding inkues itu berkata dua lagi jentera yang terlibat ialah nombor 27 daripada Universiti Multimedia Malaysia Melaka dan nombor 33 daripada Politeknik Muadzam Shah.

“Tindakan jentera nombor 22 telah menyebabkan berlaku pergeseran antara ketiga-tiga jentera terlibat, menyebabkan jentera nombor 27 hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar orang awam,” katanya.

Mohd Farirul yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata demikian pada prosiding inkues yang diadakan untuk mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, semasa menonton EIMARace 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini pada 11 pagi, 25 September 2016.

Menjawab soalan peguam Che Ariffin Mohd Ali yang mewakili keluarga mangsa, saksi mengesahkan tiga pemandu jentera itu mempunyai kelayakan untuk menyertai perlumbaaan dan ujian air kencing mereka disahkan tidak dipengaruhi bahan terlarang.

“Jentera terlibat juga mendapat kelulusan pihak juri iaitu SIRIM yang membuat pemeriksaan sebelum perlumbaan untuk memastikan kenderaan memenuhi kriteria dikehendaki seperti kuasa enjin dan panjang serta lebar kenderaan,” katanya.

Kepada soalan peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur, Mohd Farirul mengesahkan laluan litar perlumbaan ditukar pada saat-saat akhir.

Saksi juga bersetuju dengan Syed Azimal Amir bahawa Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dan kerani litar (COC) memainkan ‘peranan besar dalam menilai keselamatan litar’ termasuk jika berlaku perubahan daripada pelan asal.

Sementara itu, semasa menjawab soalan peguam Mohd Syahril Daud yang mewakili MAM, saksi bersetuju bahawa perubahan arah asal laluan litar perlumbaan dilakukan oleh penganjur menyebabkan MAM selalu perunding terpaksa akur.

“Perubahan saat-saat akhir menyebabkan MAM tidak dapat membuat penilaian sepenuhnya dalam masa singkat berdasarkan kepada kepakaran dan pengalaman mereka sebelum ini.

“Hasil siasatan saya yang menyentuh kelemahan MAM dalam pertandingan ini berdasarkan kepada tindakan mereka masih meneruskan perlumbaan walaupun menyedari terdapat kelemahan aspek keselamatan,” katanya.

Mohd Farirul juga mengakui bahawa daripada minit mesyuarat antara MAM dan penganjur pada 8.30 pagi, 24 September 2016 menunjukkan bahawa MAM dan COC telah memaklumkan penganjur akan membatalkan pertandingan jika aspek keselamatan tidak dititikberatkan.

Sumber : sinar

Prosiding dihadapan Koroner Dazuki Ali yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin, peguam Juliana Abu Bakar dan Rosmah Rosli yang mewakili Majlis Perbandaran Kuantan dan Ahmad Hazwan Hamdan bagi pihak Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser bersambung 30 Januari ini. – Bernama